Make your own free website on Tripod.com

 

Tarikh : 12/06/1997

Pendidikan Internet

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah membayangkan para pelajar di negara ini tidak perlu lagi membawa buku ke sekolah tetapi hanya membawa disket, cakera keras (CD-ROM) ataupun komputer bimbit, sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat (IT) masa kini dan akan datang.

Pandangan beliau memang beralasan. Ini kerana evolusi IT khususnya Internet kebanyakannya berlaku di persekitaran universiti dan penyelidikan. Daripada dunia pendidikan inilah akhirnya penggunaan Internet semakin tersebar di kalangan masyarakat awam.

Penggunaan Internet dalam bidang pendidikan bukan hanya memberi peluang kepada pelajar untuk menjelajahi setiap perpustakaan di setiap pelosok dunia, malahan mereka dapat menjadikannya sebagai wahana dalam pembelajaran.

Malahan guru-guru juga dapat menggunakannya sebagai bahan rujukan untuk pengajaran atau penyelidikan sebelum menyampaikannnya kepada para pelajar di kelas mereka.

Internet juga mampu mengubah reka bentuk dan reka letak bilik-bilik darjah sekolah di seluruh dunia, sama ada sekolah menengah ataupun sekolah rendah. Bagaimanapun, persekitaran sekolah seperti ini dikatakan masih terhad di rantau Asia.

Dalam buku Ke Sekolah Dengan Internet terbitan Cisco Systems Inc., sebuah syarikat teknologi maklumat terkemuka yang menceburi dalam pendidikan menyebut, pendekatan asas Internet adalah mel elektronik (e-mel).

Melalui e-mail, guru dan pelajar dapat menjelajah ke seluruh dunia hanya dari bilik-bilik darjah, bertukar-tukar pesanan mel serta idea dengan sekolah-sekolah lain di serata dunia.

Dengan kata lain, Internet menyediakan sumber dan perkhidmatan pendidikan yang luas dan berharga bukan hanya sebagai wahana mencari sahabat pena atau melayari ke tapak-tapak laman web yang tidak berfaedah.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah pertubuhan yang dinamakan CAST di Amerika Syarikat mendapati pelajar yang mempunyai akses Internet mampu menghasilkan projek sekolah mereka lebih baik berbanding para pelajar yang tidak memiliki Internet.

Ini membuktikan peranan Internet dalam pendidikan sangat besar. Ia berupaya mengangkat kemampuan dan kecemerlangan para pelajar dalam pelajaran dan pembelajaran mereka.

Hal yang sama mungkin boleh berlaku di Malaysia. Bayangkan seandainya sebahagian besar sekolah di negara ini dilengkapi dengan rangkaian akses Internet, sudah pasti pencapaian para pelajar bukan berasrama penuh akan meningkat sekurang-kurangnya menyamai pencapaian sekolah berasrama penuh.

Ini tidak mustahil kerana para pelajar berkenaan dapat berdiskusi dengan para pelajar yang bersekolah di sekolah berasrama penuh melalui teknologi ini.

Malahan sekolah luar bandar yang dikatakan sering ketinggalan dalam pendidikan akan dapat berinteraksi dan bertukar pendapat dengan para pelajar sekolah di bandar.

Sementara penggunaan Internet di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) pula selain untuk pembelajaran dan pelajaran pelajar, ia juga dapat menyediakan kemudahan kepada masyarakat umum untuk menimba ilmu serta meningkatkan status pendidikan mereka.

Ini kerana, mereka (golongan yang sudah bekerja) dapat menyambung pelajaran mereka secara jarak jauh melalui pendidikan maya dengan memanfaatkan Internet. Hal ini bukannya mustahil kerana sistem seperti ini sudah diamalkan di Barat, khususnya di Amerika Syarikat.

Mereka dapat berinteraksi dengan pensyarah serta mengikuti ujian melalui komputer tanpa perlu berdepan secara langsung dengan pensyarah berkenaan tetapi hanya menggunakan Internet atau e-mel untuk berhubung.

Hal seperti itu bakal dirasai oleh masyarakat negara ini memandangkan kebanyakan IPT sama ada milik kerajaan atau swasta sudah bersiap sedia mempertingkatkan sistem komputer mereka.

Malahan setengahnya pula telah menyediakan kemudahan pendidikan jarak jauh menggunakan sidang video. Tidak mustahil, suatu hari nanti IPT tempatan turut menerima sistem pembelajaran melalui Internet.

Menyedari hakikat itulah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sangat menggalakkan pembangunan Internet dikembangkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Sekolah bestari yang akan dilaksanakan akan menjadi perintis ke arah penggunaan Internet serta IT sepenuhnya di sekolah.

Negara lebih beruntung kerana dengan adanya inspirasi dan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) serta mengembangkan industri IT seluruh negara.

Berdasarkan program pembangunan MSC, kerajaan merancang untuk mewujudkan sekolah bestari di negara ini dengan menjadikannya sebagai salah satu daripada tujuh aplikasi perdana MSC.

Melalui sekolah bestari, Malaysia bersungguh-sungguh untuk memastikan semua sekolah memiliki akses Internet dalam masa dua tahun dan ia merupakan satu langkah yang begitu pantas bagi menambah literatur IT. Ia penting bagi membina kepakaran asas sebenar untuk membawa Malaysia ke arah era informasi.

Model sekolah bestari akan dibangunkan bersama-sama MSC dan akan disebarkan ke sekolah-sekolah biasa di Malaysia. Status syarikat MSC pula akan berpeluang untuk membentuk konsep sekolah bestari melalui pembangunan aplikasi perisian, kurikulum, peralatan kursus, guru dan kakitangan latihan dan prasarana.

Hal ini telah mendorong syarikat-syarikat antarabangsa untuk membuat pelaburan dalam pelbagai bidang berkaitan sehingga hasilnya dapat dinikmati oleh masyarakat.

Sehubungan dengan itu, pembangunan sekolah bestari pertama yang akan dibina di Cheras, Kuala Lumpur yang mana acara pecah tanah majlis itu dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini (12 Jun 1997) membuktikan kesungguhan kerajaan bagi tujuan itu.

Sekolah bestari pertama itu akan menjadi titik awal ke arah menjadikan sekolah-sekolah di negara ini dilengkapi dengan kemudahan IT termasuk Internet yang akan menjadi wahana ke arah meningkatkan pencapaian pendidikan negara.

 

Oleh: LUKMAN ISMAIL

 

 

Tarikh : 09/02/1997

RM12j diperuntuk bangun makmal multimedia

MOHD. NAJIB TUN RAZAK. KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM12 juta untuk membina makmal komputer multimedia di kesemua 31 maktab perguruan seluruh negara untuk meningkatkan keupayaan bakal guru dalam teknologi maklumat (IT).

Kementerian juga telah mengagihkan sebanyak RM5 juta tahun ini untuk melatih seramai 1,780 jurulatih IT dan mengendalikan kursus tersebut kepada 30,000 guru terlatih sekolah rendah dan menengah. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, langkah itu merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memastikan guru-guru diberi latihan dalam bidang IT supaya mereka dapat melaksanakan konsep sekolah bestari dengan berkesan.

Katanya, kementerian juga telahpun memperkenalkan pendidikan IT kepada guru-guru pelatih Diploma Perguruan Malaysia sebagai komponen asas dinamik guru selain memperkenalkan matapelajaran IT dalam beberapa matapelajaran.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Sekolah Bestari di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) kementerian di Pesiaran Bukit Kiara di sini, Isnin lepas.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib mengumumkan sebanyak 85 sekolah bestari akan mula beroperasi pada Januari 1999 selari dengan rancangan kerajaan menyerapkan konsep sekolah bestari secara berperingkat-peringkat ke semua sekolah menjelang tahun 2010.

Sekolah yang termasuk dalam perancangan asas itu melibatkan tiga di Putrajaya, empat di Pudu Ulu, 36 sekolah berasrama penuh, 14 pusat sumber elektronik (projek Munsyi) serta masing-masing 14 sekolah menengah dan rendah iaitu satu di setiap negeri, katanya.

Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk tambahan lapan sekolah lain yang akan dibina mengikut konsep ala sekolah bestari di atas tapak ganti kerana terlibat dalam proses penswastaan.

``Jadi mana-mana projek yang kita buat di bawah dasar (penswastaan) ini akan diganti tetapi mengikut perancangan kerajaan, 85 sekolah ini adalah asas (sekolah bestari),ÕÕ katanya.

Sebanyak 85,000 pelajar dijangka terlibat dalam peringkat asas sekolah bestari itu yang mengehadkan jumlah pelajar tidak melebihi 30 orang bagi setiap kelas bagi menjamin keberkesanan konsep itu.

Sekolah bestari sebagai sekolah yang menggunakan IT dalam membantu pembelajaran perlu dihadkan kepada 30 murid bagi satu kelas supaya guru dapat membimbing pelajarnya dengan lebih berkesan, katanya.

Mengenai pembangunan perisian bagi penggunaan pengajaran dalam sekolah-sekolah bestari, Najib berkata perisian itu telah disiapkan bagi matapelajaran Matematik, Sains, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan dalam proses untuk menyiapkan bagi matapelajaran lain.

Seminar sehari itu bertujuan menerangkan konsep sekolah bestari kepada pegawai-pegawai yang terlibat dengan projek berkenaan dalam kementerian dan membincangkan pelaksanaan serta implikasinya.

 

 

Tarikh : 07/11/1997

Tugas perkeranian membazirkan banyak masa guru

KIRA-KIRA 40 peratus daripada tugas seharian guru yang dibazirkan dengan kerja-kerja perkeranian secara manual sekarang, akan dapat dijimatkan pada era sekolah bestari, kata Penolong Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Chan Foong Mae.

Kata beliau, kerja-kerja perkeranian, menyediakan kertas peperiksaan, membawa balik kerja-kerja pejabat untuk ditaip di rumah, tidak akan berlaku dalam pengurusan gaya sekolah bestari.

Menurutnya, sekolah bestari merupakan satu sistem pengurusan sekolah yang meliputi sembilan fungsi - daripada keselamatan sekolah sehingga tugas perkeranian.

''Jadi, guru akan mempunyai lebih banyak masa sebagai pembimbing di sisi,'' ujarnya baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan serta pihak swasta telah menyediakan perancangan perisian serta conceptual blue print, ''yang menegaskan bahawa sekolah bestari tidak sepatutnya terlalu 'technical driven'

''Yang penting ialah menerapkan sistem pengajaran bestari, bukan bermakna tiada komputer, tiada sekolah bestari,'' ujarnya.

Oleh itu, tambah beliau, guru akan lebih berperanan sebagai 'guru' pada erti kata sebenar, membimbing pelajar membuat keputusan supaya konsep terarah kendiri di kalangan pelajar benar-benar wujud,'' ujarnya.

Beliau turut membetulkan tanggapan masyarakat bahawa sebagai pembimbing, tugas guru bukan mengarah, dan guru juga bukan ''manusia yang tahu segala-galanya''.

Sebab itulah, katanya konsep pembimbing sisi, iaitu guru bertindak sebagai fasilitator, perlu ditekankan di sekolah bestari.

Selain itu, ujarnya, teknologi maklumat (IT) dalam sekolah bestari juga amat sesuai digunakan sebagai perkakasan dalam pengajaran berkonsep 'anjakan latar' (scene shifting).

Anjakan latar adalah teknik menukar persekitaran pembelajaran, misalnya membawa para pelajar ke luar bilik darjah sewaktu mengajar mata pelajaran sains.

Katanya, pada era IT, bahan pengajaran multimedia boleh digunakan dalam anjakan latar, kalau guru tidak mempunyai masa membawa para pelajarnya ke lapangan.

''Gaya pengajaran dahulu dan sekarang berbeza... mungkin kita dahulu telah dididik dengan anjakan latar yang terhad iaitu sepanjang masa kita menghadap papan hitam di bilik darjah yang sama,'' ujarnya.

Menurut Chan lagi, di bawah perancangan 'conceptual blue print' penilaian pelajar di sekolah bestari juga akan diubah.

Penilaian pelajar akan diadakan dengan lebih kerap melalui satu sistem yang sentiasa'on-line'.

Katanya, pelajar akan sentiasa dinilai keupayaan mereka dari semasa ke semasa, bukan hanya sekali peperiksaan untuk sesuatu tahap seperti mana sekarang - merujuk kepada Penilaian Menengah rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya..

''Dengan itu, perkembangan pengetahuan pelajar akan dapat diketahui dari semasa ke semasa,'' ujarnya, sambil menambah, selain sistem penilaian, sistem pensijilan juga penting untuk difikirkan dalam sistem sekolah bestari.

Katanya, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) telah dimaklumkan mengenai peranan mereka dalam aspek latihan guru siswazah yang bakal mendidik di sekolah bestari.

''Tindakan selanjutnya bergantung kepada JPT ... tetapi kita merasakan ada keperluan untuk pihak universiti menjadi pakar sumber, sementara pihak swasta menyediakan prasarana perisian,'' katanya.

Kata beliau, menurut dokumen perancangan, perlaksanaan sekolah bestari, yang jumlahnya sebanyak 90 buah sekolah, akan bermula pada 1999, di semua sekolah berasrama penuh, sekolah-sekolah utama, beberapa sekolah baru, Kompleks Sekolah Sri Bintang dan di Sekolah Sri Permai.

Katanya, sekolah-sekolah itu akan menjadi model kepada sekolah-sekolah lain di serata negara.

Katanya, bagaimana ia akan dilaksanakan di sekolah-sekolah lain, banyak bergantung kepada kreativiti pentadbiran pendidikan di negeri-negeri serta bantuan kewangan golongan korporat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Cabaran Vista Sdn. Bhd., Tengku Razmi Tengku Othman berkata, bukan mudah untuk menyediakan perisian untuk kegunaan 4.5 juta pelajar di seluruh negara, yang lambat laun akan menjadi pelajar di sekolah bestari.

Syarikatnya terlibat dalam projek percubaan sekolah bestari di Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur.

Antara langkah permulaan yang perlu dilakukan oleh syarikatnya ialah memberi 'semangat' kepada para pelajar, guru dan kakitangan sekolah supaya ingin belajar dalam suasana baru sekolah bestari.

''Sementara persaingan dengan permainan komputer, video dan televisyen memang wujud, jadi kita perlukan satu perisian yang memenuhi ciri-ciri multimedia yang lebih menarik lagi dengan saingan-saingan itu,'' katanya.

Menurut beliau, sampai ke satu tahap, mungkin para pelajar sewaktu di rumah boleh mengakses maklumat di sekolah masing-masing melalui server sekolah.

 

Tarikh : 05/07/1997

Sekolah bestari bakal terbaik di dunia

KUALA LUMPUR 4 Julai - Seorang pakar pendidikan serta penggubal kurikulum sekolah bestari dari Amerika Syarikat (AS) yakin, sekolah bestari di Malaysia bakal muncul salah satu yang terbaik di dunia berdasarkan komitmen pemimpin politik di sini.

Kata Pengarah Eksekutif Program Kelas Masa Depan Agensi Penyelidikan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Prof. Dr. C. Daniel Miller:

''Malaysia mempunyai tapak kukuh untuk mewujudkan salah sebuah sekolah bestari terbaik di dunia, sejajar dengan wawasan hebat kerajaannya mewujudkan Projek Lebuh Raya Multimedia (MSC).

''Projek MSC sungguh phenomenal (luar biasa) bagi sebuah negara seperti Malaysia, saya yakin infrastruktur itu akan membantu sistem sekolah bestari.''

Kata, Dr. Daniel, walaupun teknologi gentian belum sepenuhnya menggantikan pendawaian wayar di sekolah-sekolah bestari yang bakal dibina di sini, tidak bermakna pembinaan sekolah bestari tidak boleh dimulakan sekarang.

''Jangan menganggap negara ini sudah terlewat (mewujudkan sekolah bestari).

''Sebenarnya, di AS pun perlaksanaan sekolah bestari hanya difikirkan secara serius enam atau tujuh lalu... bukan semua sekolah di AS adalah sekolah bestari,'' ujarnya di sini hari ini.

Dr. Daniel berada di Kuala Lumpur sebagai tokoh pendidikan yang dijemput khas untuk berucap pada satu seminar mengenai teknologi multimedia dalam pendidikan, serta melawat beberapa sekolah di ibu negara.

Beliau juga bertemu dengan beberapa pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

''Apabila saya mengunjungi negara ini sekali lagi nanti, saya berharap sekolah bestari telah wujud, dan NASA serta MSC dapat bekerjasama memajukan bidang yang sungguh bermanfaat ini,'' katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan perlu bersedia untuk melatih kumpulan 'mahaguru' multimedia dan menyediakan asas yang kukuh menghadapi era Internet II, sebagai prasyarat mewujudkan sekolah bestari.

''Walau apapun terjadi, teknologi tidak akan menggantikan peranan guru.

 

 

Tarikh : 05/02/1997

`Lompat kelas' sekolah bestari yang akan melaksanakan konsep inovatif `kelas melangkau maya' mampu memberi pendidikan terbaik untuk pelajar pintar.

Tidak sebagaimana sistem pendidikan sekarang yang memberi ketegangan kepada pelajar lemah dan menghalang kemajuan pelajar pintar, konsep itu mempunyai keanjalan yang dihasilkan menerusi penggunaan teknologi.

Menurut kertas kerja yang bertajuk Sekolah Bestari di Malaysia: Satu Lonjakan Saujana oleh Pasukan Petugas Sekolah Bestari, Kementerian Pendidikan, ia bukan sahaja membantu pelajar pintar, bahkan sekali gus mereka yang lemah.

Menerusi sistem itu, pelajar yang cerdas akan berpeluang menyempurnakan semua kerja kursus dan penilaian lebih awal dari tempoh biasa.

Manakala pelajar yang kurang upaya pula akan dibenarkan melalui program asas mengikut kadar pembelajarannya.

Ini dilakukan menerusi penubuhan sistem penilaian yang fleksibel berdasarkan item penilaian yang disimpan secara berpusat dan dalam talian, serta tumpuan khas guru.

Sistem penilaian fleksibel ini juga membenarkan pelajar dalam satu kelas bekerja pada aras yang berlainan dalam mata pelajaran yang sama.

Ini akan membolehkan pelajar terus ke aras yang lain dalam mata pelajaran yang berlainan pada bila-bila masa.

Dengan kata lain, pembelajaran di sekolah bestari akan bercorak terarah kendiri, mengikut kadar individu, berkesinambungan dan reflektif.

Kemudahan teknologi pelbagai media dan jaringan meliputi seluruh dunia juga akan menjadikan pembelajaran tidak lagi berpusatkan guru tetapi berpusatkan pelajar dengan disokong oleh kurikulum yang fleksibel dan terbuka.

Ini juga kerana kurikulum sekolah tersebut mengambilkira hakikat bahawa pelajar mempunyai keperluan yang berlainan.

Sebagai contoh, pelajar akan memilih berbagai-bagai modul yang berlainan dalam sesuatu mata pelajaran berdasarkan minat masing-masing dan kemajuan mingguan dalam mata pelajaran itu.

Guru sebagai fasilitator atau pembimbing akan menyemak kemajuan pelajar, menguji kekuatan dan daya usaha, mengenal pasti kelemahan serta membuat keputusan tentang jenis latihan yang diperlukan oleh setiap pelajar.

Komputer yang mengambil alih kerja seharian dan penyampaian maklumat akan membebaskan guru daripada tugasan pentadbiran yang remeh dan memberi mereka peluang untuk menumpukan perhatian yang lebih terhadap aspek pendidikan bersifat kemanusiaan.

Sehubungan itu latihan untuk guru adalah amat penting kerana gabungan rapi antara latihan intensif dan kaunseling adalah perlu untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta menghabiskan kebanyakan masa untuk mendekati para pelajar.

Sekolah bestari juga akan menyediakan pelajar membuat peralihan yang berjaya dalam persekitaran moden dan lebih global dengan memupuk kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif bagi menghadapi situasi baru.

Pelajar akan bertindak dengan berani dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap keputusan itu.

Mereka juga akan belajar memproses dan memanipulasikan maklumat serta dilatih berfikir secara kritis dan membuat refleksi tentang apa yang dipelajari.

Sementara itu, bilik darjah di sekolah bestari disambungkan melalui jaringan kawasan tempatan (Local Area Network atau LAN), sementara sekolah itu disambungkan antara satu sama lain melalui jaringan kawasan luas (Wide Area Network atau WAN).

Sekolah rendah bestari dilengkapi komputer dengan kadar satu komputer empat pelajar.

Setiap bilik darjah mempunyai tiga komputer dan setiap makmal komputer mempunyai 30 komputer.

Enam bilik serbaguna pula dilengkapi enam buah komputer setiap satu, pusat sumber elektronik 10 komputer, pejabat pentadbiran empat komputer, dan kadar penggunaan komputer ialah setiap lima guru kepada satu komputer.

Sementara sekolah menengah pula adalah pada kadar satu komputer tiga pelajar dengan setiap bilik darjah mempunyai empat komputer.

Setiap makmal komputer dilengkapi 30 buah komputer dan enam bilik serbaguna dilengkapi dengan tujuh buah komputer setiap satu bilik.

Pusat sumber elektronik pula dilengkapi 10 komputer, lapan komputer diperuntukkan bagi penggunaan pentadbiran dan kadar penggunaan komputer ialah satu komputer untuk setiap lima guru.

Dengan itu, diari kehidupan pelajar, guru dan ibu bapa akan dilingkari oleh penggunaan teknologi komputer seperti mencari maklumat melalui Internet dan secara bertukar-tukar melalui E-mail dengan rakan pelajar di negara-negara lain.

Penjaringan yang terdapat di sekolah bestari juga akan memudahkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam rancangan sekolah dan mereka akan berpeluang memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pendidikan anak mereka.

 

 

NEXT >