Make your own free website on Tripod.com

 

 

Tarikh : 05/07/1997

Sekolah bestari bakal terbaik di dunia

KUALA LUMPUR 4 Julai - Seorang pakar pendidikan serta penggubal kurikulum sekolah bestari dari Amerika Syarikat (AS) yakin, sekolah bestari di Malaysia bakal muncul salah satu yang terbaik di dunia berdasarkan komitmen pemimpin politik di sini.

Kata Pengarah Eksekutif Program Kelas Masa Depan Agensi Penyelidikan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Prof. Dr. C. Daniel Miller:

''Malaysia mempunyai tapak kukuh untuk mewujudkan salah sebuah sekolah bestari terbaik di dunia, sejajar dengan wawasan hebat kerajaannya mewujudkan Projek Lebuh Raya Multimedia (MSC).

''Projek MSC sungguh phenomenal (luar biasa) bagi sebuah negara seperti Malaysia, saya yakin infrastruktur itu akan membantu sistem sekolah bestari.''

Kata, Dr. Daniel, walaupun teknologi gentian belum sepenuhnya menggantikan pendawaian wayar di sekolah-sekolah bestari yang bakal dibina di sini, tidak bermakna pembinaan sekolah bestari tidak boleh dimulakan sekarang.

''Jangan menganggap negara ini sudah terlewat (mewujudkan sekolah bestari).

''Sebenarnya, di AS pun perlaksanaan sekolah bestari hanya difikirkan secara serius enam atau tujuh lalu... bukan semua sekolah di AS adalah sekolah bestari,'' ujarnya di sini hari ini.

Dr. Daniel berada di Kuala Lumpur sebagai tokoh pendidikan yang dijemput khas untuk berucap pada satu seminar mengenai teknologi multimedia dalam pendidikan, serta melawat beberapa sekolah di ibu negara.

Beliau juga bertemu dengan beberapa pegawai kanan di Kementerian Pendidikan.

''Apabila saya mengunjungi negara ini sekali lagi nanti, saya berharap sekolah bestari telah wujud, dan NASA serta MSC dapat bekerjasama memajukan bidang yang sungguh bermanfaat ini,'' katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan perlu bersedia untuk melatih kumpulan 'mahaguru' multimedia dan menyediakan asas yang kukuh menghadapi era Internet II, sebagai prasyarat mewujudkan sekolah bestari.

''Walau apapun terjadi, teknologi tidak akan menggantikan peranan guru.

Tarikh : 05/02/1997

`Lompat kelas' sekolah bestari yang akan melaksanakan konsep inovatif `kelas melangkau maya' mampu memberi pendidikan terbaik untuk pelajar pintar.

Tidak sebagaimana sistem pendidikan sekarang yang memberi ketegangan kepada pelajar lemah dan menghalang kemajuan pelajar pintar, konsep itu mempunyai keanjalan yang dihasilkan menerusi penggunaan teknologi.

Menurut kertas kerja yang bertajuk Sekolah Bestari di Malaysia: Satu Lonjakan Saujana oleh Pasukan Petugas Sekolah Bestari, Kementerian Pendidikan, ia bukan sahaja membantu pelajar pintar, bahkan sekali gus mereka yang lemah.

Menerusi sistem itu, pelajar yang cerdas akan berpeluang menyempurnakan semua kerja kursus dan penilaian lebih awal dari tempoh biasa.

Manakala pelajar yang kurang upaya pula akan dibenarkan melalui program asas mengikut kadar pembelajarannya.

Ini dilakukan menerusi penubuhan sistem penilaian yang fleksibel berdasarkan item penilaian yang disimpan secara berpusat dan dalam talian, serta tumpuan khas guru.

Sistem penilaian fleksibel ini juga membenarkan pelajar dalam satu kelas bekerja pada aras yang berlainan dalam mata pelajaran yang sama.

Ini akan membolehkan pelajar terus ke aras yang lain dalam mata pelajaran yang berlainan pada bila-bila masa.

Dengan kata lain, pembelajaran di sekolah bestari akan bercorak terarah kendiri, mengikut kadar individu, berkesinambungan dan reflektif.

Kemudahan teknologi pelbagai media dan jaringan meliputi seluruh dunia juga akan menjadikan pembelajaran tidak lagi berpusatkan guru tetapi berpusatkan pelajar dengan disokong oleh kurikulum yang fleksibel dan terbuka.

Ini juga kerana kurikulum sekolah tersebut mengambilkira hakikat bahawa pelajar mempunyai keperluan yang berlainan.

Sebagai contoh, pelajar akan memilih berbagai-bagai modul yang berlainan dalam sesuatu mata pelajaran berdasarkan minat masing-masing dan kemajuan mingguan dalam mata pelajaran itu.

Guru sebagai fasilitator atau pembimbing akan menyemak kemajuan pelajar, menguji kekuatan dan daya usaha, mengenal pasti kelemahan serta membuat keputusan tentang jenis latihan yang diperlukan oleh setiap pelajar.

Komputer yang mengambil alih kerja seharian dan penyampaian maklumat akan membebaskan guru daripada tugasan pentadbiran yang remeh dan memberi mereka peluang untuk menumpukan perhatian yang lebih terhadap aspek pendidikan bersifat kemanusiaan.

Sehubungan itu latihan untuk guru adalah amat penting kerana gabungan rapi antara latihan intensif dan kaunseling adalah perlu untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta menghabiskan kebanyakan masa untuk mendekati para pelajar.

Sekolah bestari juga akan menyediakan pelajar membuat peralihan yang berjaya dalam persekitaran moden dan lebih global dengan memupuk kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif bagi menghadapi situasi baru.

Pelajar akan bertindak dengan berani dalam membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap keputusan itu.

Mereka juga akan belajar memproses dan memanipulasikan maklumat serta dilatih berfikir secara kritis dan membuat refleksi tentang apa yang dipelajari.

Sementara itu, bilik darjah di sekolah bestari disambungkan melalui jaringan kawasan tempatan (Local Area Network atau LAN), sementara sekolah itu disambungkan antara satu sama lain melalui jaringan kawasan luas (Wide Area Network atau WAN).

Sekolah rendah bestari dilengkapi komputer dengan kadar satu komputer empat pelajar.

Setiap bilik darjah mempunyai tiga komputer dan setiap makmal komputer mempunyai 30 komputer.

Enam bilik serbaguna pula dilengkapi enam buah komputer setiap satu, pusat sumber elektronik 10 komputer, pejabat pentadbiran empat komputer, dan kadar penggunaan komputer ialah setiap lima guru kepada satu komputer.

Sementara sekolah menengah pula adalah pada kadar satu komputer tiga pelajar dengan setiap bilik darjah mempunyai empat komputer.

Setiap makmal komputer dilengkapi 30 buah komputer dan enam bilik serbaguna dilengkapi dengan tujuh buah komputer setiap satu bilik.

Pusat sumber elektronik pula dilengkapi 10 komputer, lapan komputer diperuntukkan bagi penggunaan pentadbiran dan kadar penggunaan komputer ialah satu komputer untuk setiap lima guru.

Dengan itu, diari kehidupan pelajar, guru dan ibu bapa akan dilingkari oleh penggunaan teknologi komputer seperti mencari maklumat melalui Internet dan secara bertukar-tukar melalui E-mail dengan rakan pelajar di negara-negara lain.

Penjaringan yang terdapat di sekolah bestari juga akan memudahkan penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam rancangan sekolah dan mereka akan berpeluang memainkan peranan yang lebih berkesan dalam pendidikan anak mereka.

 

Tarikh : 04/10/1997

Teknologi moden menggantikan kaedah pengajaran konservatif

KESEDIAAN guru-guru untuk menukar cara pengajaran yang konservatif kepada pengajaran berasaskan teknologi moden merupakan tulang belakang kepada kejayaan perlaksanaan sekolah bestari.

Naib Presiden Bahagian Pendidikan Future Kids Inc. Amerika Syarikat, Mark German berkata, sebagai pemudahcara di dalam bilik darjah, guru perlu menguasai kemahiran yang berkaitan sebelum membimbing pelajar di bawah jagaan mereka.

''Perlaksanaan sekolah bestari memerlukan kesediaan guru untuk mengubah cara pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang sekaligus memerlukan mereka mengikuti kursus dan latihan tertentu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja yang bertajuk 'Integrasi Teknologi Ke Dalam Kurikulum Sekolah pada Seminar Integrasi Teknologi Ke Dalam Kurikulum Sekolah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut German, keberkesanan penggunaan teknologi dalam kurikulum sekolah akan bergantung kepada kesediaan guru untuk menukar kaedah pengajaran lama kepada pengajaran berasaskan komputer.

''Ketidaksediaan guru untuk berubah dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan komputer dan teknologi maklumat umpama menyuntik ubat yang salah ke dalam satu badan yang pasti akan memuntahkannya keluar,'' katanya lagi.

Di samping kesediaan guru, wujudnya latihan untuk perkembangan kakitangan, sokongan teknikal dari kerajaan mahupun swasta, perancangan yang strategik, serta kemudahan untuk akses komputer juga turut menyumbang kepada kejayaan sekolah bestari.

''Mengenalpasti guru-guru yang berbakat dan berminat di bidang teknologi maklumat serta menyediakan peluang latihan untuk meningkatkan penguasaan di bidang tersebut amat penting.

''Begitu juga pemahaman tentang tugas dan fungsi mereka sebagai guru yang lebih cenderung sebagai pemudahcara dalam era teknologi maklumat dan pengajaran berasaskan komputer,'' ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Microsoft (Malaysia) Sdn.Bhd., Benedict Lee pula berkata, penggunaan teknologi maklumat berupaya memperbaiki tahap pendidikan dunia serta membantu guru menggunakan kaedah pengajaran yang lebih berkesan.

''Cara pembelajaran berasaskan teknologi maklumat atau komputer menawarkan pendidikan berkait atau berhubung serta membuka peluang kepada setiap pelajar dan guru untuk akses komputer dan rangkaian maklumat.

''Malah, pelajar juga akan didedahkan kepada cara belajar yang lebih bersifat 'belajar sendiri' seperti mencari maklumat dan membuat penyelidikan dan pengajian diatas daya usaha sendiri di bawah bimbingan guru,'' kata semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Komuniti Pembelajaran Berkait'.

Menurut Benedict, teknologi yang diserapkan ke dalam kurikulum sekolah mewujudkan komuniti pembelajaran yang dapat menghubungkan pelajar dengan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Tegasnya, dalam menyerapkan teknologi ke dalam kurikulum sekolah, guru merupakan tulang belakang untuk menjayakan kaedah tersebut.

Kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih serius kepada latihan guru.

''Para pelajar terutama kanak-kanak belajar lebih cepat dari orang dewasa kerana mereka memang suka bidang penerokaan seperti komputer dan internet, sedangkan guru perlukan pembelajaran yang konkrit,'' ujar beliau.

Pada seminar sehari anjuran bersama FutureKids, Microsoft dan Compaq tersebut, Pengarah Urusan Compaq Computer (Malaysia) Sdn. Bhd., Wong Chung Fong turut membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Sekolah Bestari.

Seminar tersebut dihadiri oleh 130 peserta yang terdiri daripada guru-guru di sekolah kerajaan dan swasta serta kakitangan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pendidikan.

 

Tarikh : 02/04/1997

Komputer bimbit ganti beg sekolah PULAU PINANG

1 April - Para pelajar di negara ini akan membawa komputer bimbit ke sekolah menggantikan beg buku yang berat pada abad ke-21, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, wawasan sistem pendidikan negara berkonsepkan `sekolah bestari' akan membolehkan para pelajar mendapat maklumat yang tidak terhad menerusi komputer bimbit mereka.

Penggunaan komputer di sekolah bestari yang sedang diperkenalkan menurutnya, akan membolehkan para pelajar mengawas dan menilai tahap pembelajaran masing-masing serta membuat keputusan sama ada untuk menambah atau membaikinya di mana perlu.

Sekolah-sekolah serupa itu akan disokong dengan penggunaan sistem rang-kaian setempat (LAN) dan sistem rangkaian terbuka (WAN) serta aplikasi perisian bagi membolehkan pembelajaran dilakukan secara interaktif.

Najib memberitahu perkara ini semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pembelajaran Kooperatif dan Konstruktivisme 1997 Dalam Pendidikan Sains dan Matematik di Pusat Serantau Pendidikan Sains, Matematik dan Teknologi (RECSAM) di sini hari ini.

Ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Rendah, Bahagian Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan, Datuk Talaat Toh Husain kepada 180 peserta daripada pelbagai negara.

Tambah Najib, sekolah bestari menggunakan pengetahuan semasa dalam sains kognitif untuk menggalakkan aktiviti pembelajaran serta peluang untuk mengubah pula pembelajarannya.

Sehubungan itu beliau berkata, kementeriannya kini sedang memikirkan untuk mengadakan kolej-kolej bestari bagi menyediakan guru kepada sekolah-sekolah seperti itu.

``Guru-guru yang dilatih tidak lagi memerlukan kapur dan papan hitam. Bilik darjah sebaliknya akan dilengkapi dengan perkakasan multimedia di mana guru-guru bestari akan menggunakan perkakasan berkenaan untuk mengajar,'' katanya.

Menerusi penggunaan komputer, para pelajar pula berupaya mendapat maklumat yang tiada hadnya dengan seluas-luasnya.

RECSAM juga menurutnya, boleh memainkan peranan itu untuk melatih guru-guru sekolah bestari disebabkan dua mata pelajaran yang akan diberikan penekanan di sekolah bestari adalah Sains dan Matematik.

``Guru-guru mesti dilatih menggunakan peranti dan perisian komputer untuk kegunaan pendidikan, lebih-lebih lagi untuk memberikan kesannya ke atas pengisian sukatan mata pelajaran,'' katanya.

 

Tarikh : 01/05/1997

Permohonan mengajar di Sekolah Bestari dibuka

ALOR GAJAH 30 April - Guru-guru yang berminat mengajar di 38 buah Sekolah Bestari mulai Jun ini diminta menghantar segera permohonan mereka kepada Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Foong Chan Onn berkata, ini bagi membolehkan kementeriannya memproses setiap permohonan tersebut sebelum fasa pertama program itu dilaksanakan di sekolah yang dipilih.

Beliau bagaimanapun berkata, para guru yang berminat tidak seharusnya memikirkan ganjaran yang bakal diperolehi dengan mengajar di sekolah tersebut.

``Mereka seharusnya berbangga sekiranya terpilih mengajar di 38 Sekolah Bestari yang akan melaksanakan program baru dalam pembelajaran murid-murid,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan sivik mesra anjuran Jabatan Penerangan Alor Gajah di sini, malam tadi.

Sejajar dengan perkembangan itu, katanya, kementerian juga perlu merombak semula sukatan pelajaran guru-guru pelatih di institusi-institusi perguruan tanah air bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.

Dr. Foong menyatakan dengan menggunakan sukatan pelajaran yang baru, murid-murid dapat menggunakan sepenuhnya keupayaan dan kebolehan masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada para guru.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang mengatakan bahawa sukatan pelajaran Diploma Perguruan Malaysia (DPM) akan dirombak semula pada Jun ini.

Sukatan pelajaran DPM tersebut akan memberi tumpuan kepada skil pembelajaran secara berkesan seperti komunikasi interpersonal dan intrapersonal, penggunaan peralatan multimedia dan cara-cara pengendalian kelas yang mempunyai perbezaan dari segi usia dan keupayaan.

Keputusan mengadakan rombakan itu dicapai dalam satu mesyuarat tertutup di kalangan ahli-ahli pendidikan negara termasuk 92 pensyarah kanan dari maktab perguruan bersama sembilan pegawai dari Bahagian Pendidikan Guru, kementerian tersebut baru-baru ini.

Dr. Foong memberitahu, setakat ini semua persediaan untuk memulakan Sekolah Bestari di beberapa sekolah yang dipilih di seluruh negara telah berjalan dengan lancar.

 

Tarikh : 01/04/1997

Pengambilan guru Sekolah Bestari tahun depan

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pengambilan khas guru-guru untuk mengajar di Sekolah Bestari yang dijangka diperkenalkan pada 1999 akan dibuat awal tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, setakat ini kementerian belum menetapkan jumlah guru yang akan dipilih.

``Sebaliknya kementerian lebih menumpukan tarikh sebenar pengambilan itu akan dibuat termasuk kelayakan dan persediaan di pihak kementerian.

``Disebabkan proses pembelajaran di Sekolah Bestari lebih menumpukan kepada aspek teknologi pengkomputeran, pemilihan bakal guru perlu dilakukan dengan tersusun dan penuh hati-hati,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Sekolah Perintis Berkonsep Makmal Bestari di Sekolah St. John Bukit Nenas di sini hari ini.

Najib menambah, Sekolah Bestari yang sedang dirancangkan ini memerlukan daya kreativiti, kepakaran dalam pelbagai bentuk pembelajaran di peringkat tertinggi.

``Justeru itu guru-guru yang akan dipilih menerajui Sekolah Bestari perlu memiliki daya pemikiran dan memahami semua aspek berkaitan teknologi moden yang menghubungkan Internet, E-mail atau sistem rangkaian setempat (Local Area Network).

``Untuk itu kerajaan akan mengambil perhatian yang khusus dalam penyediaan program pembelajaran, kurikulum latihan guru, kos dan penyelarasan keseluruhannya,'' ujarnya.

Ditanya apakah penilaian yang akan dibuat hasil daripada penubuhan Makmal Bestari contoh hari ini, Najib berkata, ia akan dinilai akhir tahun ini termasuklah aspek sistem, keberkesanan, penggunaan, pengawasan dan peranan guru dalam menjayakan sekolah itu.

Menurut Najib lagi, Makmal Bestari yang pertama disediakan di Sekolah St. John Bukit Nenas itu merupakan daya usaha sebuah syarikat swasta, Cabaran Vista Sdn. Bhd. yang menanggung keseluruhan kos berjumlah lebih RM100,000 termasuk penyediaan komputer dan sistem komputer.

``Ini merupakan projek perintis di salah sebuah sekolah bandar dan kementerian sedang menilai sebuah sekolah menengah di luar bandar untuk disediakan Makmal Bestari.

``Perkara itu sedang dikaji dan insya-Allah beberapa bulan akan datang sebuah lagi sekolah akan diwujudkan Makmal Bestari,'' jelasnya.

Ketika ditanya sejauh mana penglibatan pihak swasta dalam membantu kerajaan menjayakan Sekolah Bestari dan penyediaan Makmal Bestari, Najib berkata, setakat ini mereka kurang memberikan perhatian.

``Kerajaan akan cuba mendapatkan seberapa banyak syarikat swasta yang ada di negara ini supaya bersama-sama menjadikan sistem pembelajaran berkonsepkan komputer berjaya.

``Memang ia tidak mudah tetapi kementerian yakin beberapa syarikat swasta akan terlibat akhirnya,'' tambahnya lagi.

Makmal Bestari merupakan sistem penggunaan `Digital Courseware Center' yang mampu membekalkan maklumat pembelajaran dalam pelbagai aspek melalui rangkaian maklumat di pusat Courseware Digital.

 

NEXT >