Make your own free website on Tripod.com

 

 

Tarikh : 01/04/1997

Pengambilan guru Sekolah Bestari tahun depan

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pengambilan khas guru-guru untuk mengajar di Sekolah Bestari yang dijangka diperkenalkan pada 1999 akan dibuat awal tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Beliau berkata, setakat ini kementerian belum menetapkan jumlah guru yang akan dipilih.

 

``Sebaliknya kementerian lebih menumpukan tarikh sebenar pengambilan itu akan dibuat termasuk kelayakan dan persediaan di pihak kementerian.

 

``Disebabkan proses pembelajaran di Sekolah Bestari lebih menumpukan kepada aspek teknologi pengkomputeran, pemilihan bakal guru perlu dilakukan dengan tersusun dan penuh hati-hati,'' tegasnya.

 

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Sekolah Perintis Berkonsep Makmal Bestari di Sekolah St. John Bukit Nenas di sini hari ini.

 

Najib menambah, Sekolah Bestari yang sedang dirancangkan ini memerlukan daya kreativiti, kepakaran dalam pelbagai bentuk pembelajaran di peringkat tertinggi.

 

``Justeru itu guru-guru yang akan dipilih menerajui Sekolah Bestari perlu memiliki daya pemikiran dan memahami semua aspek berkaitan teknologi moden yang menghubungkan Internet, E-mail atau sistem rangkaian setempat (Local Area Network).

 

``Untuk itu kerajaan akan mengambil perhatian yang khusus dalam penyediaan program pembelajaran, kurikulum latihan guru, kos dan penyelarasan keseluruhannya,'' ujarnya.

 

Ditanya apakah penilaian yang akan dibuat hasil daripada penubuhan Makmal Bestari contoh hari ini, Najib berkata, ia akan dinilai akhir tahun ini termasuklah aspek sistem, keberkesanan, penggunaan, pengawasan dan peranan guru dalam menjayakan sekolah itu.

 

Menurut Najib lagi, Makmal Bestari yang pertama disediakan di Sekolah St. John Bukit Nenas itu merupakan daya usaha sebuah syarikat swasta, Cabaran Vista Sdn. Bhd. yang menanggung keseluruhan kos berjumlah lebih RM100,000 termasuk penyediaan komputer dan sistem komputer.

 

``Ini merupakan projek perintis di salah sebuah sekolah bandar dan kementerian sedang menilai sebuah sekolah menengah di luar bandar untuk disediakan Makmal Bestari.

 

``Perkara itu sedang dikaji dan insya-Allah beberapa bulan akan datang sebuah lagi sekolah akan diwujudkan Makmal Bestari,'' jelasnya.

 

Ketika ditanya sejauh mana penglibatan pihak swasta dalam membantu kerajaan menjayakan Sekolah Bestari dan penyediaan Makmal Bestari, Najib berkata, setakat ini mereka kurang memberikan perhatian.

 

``Kerajaan akan cuba mendapatkan seberapa banyak syarikat swasta yang ada di negara ini supaya bersama-sama menjadikan sistem pembelajaran berkonsepkan komputer berjaya.

 

``Memang ia tidak mudah tetapi kementerian yakin beberapa syarikat swasta akan terlibat akhirnya,'' tambahnya lagi.

 

Makmal Bestari merupakan sistem penggunaan `Digital Courseware Center' yang mampu membekalkan maklumat pembelajaran dalam pelbagai aspek melalui rangkaian maklumat di pusat Courseware Digital.

 

 

 

 

 

 

Tarikh : 19/06/1997

UTM cipta prototaip jadual guru automatik

 

SKUDAI 15 Jun - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta prototaip Sistem Maklumat Sekolah Bersepadu yang antara lain membolehkan pihak pentadbiran sekolah menyusun jadual waktu mengajar semua para gurunya secara automatik.

 

Sistem yang boleh menyokong operasi Sekolah Bestari itu juga akan membolehkan guru-guru besar sekolah mendapatkan maklumat latar belakang guru-guru seperti taraf pendidikan, kelayakan, gaji dan subjek pengajaran dengan hanya menekan butang komputer.

 

Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Maklumat UTM, Suhaimi Ibrahim berkata, melalui jadual waktu yang disusun oleh sistem itu, guru besar dan pengetua sekolah boleh mengetahui masa rehat dan kelas yang sedang diajar oleh guru mereka.

 

Beliau memberitahu sistem itu juga berupaya mengelakkan beberapa masalah yang timbul daripada penggunaan jadual waktu secara manual pada masa ini seperti pertindihan masa, kelas dan subjek bagi setiap guru.

 

''Pihak pentadbiran sekolah juga boleh mengetahui senarai guru gantian bagi setiap ketidakhadiran guru di sesebuah sekolah pada kadar segera,'' katanya ketika ditemui Utusan di sini hari ini.

 

Menjelas lanjut mengenai sistem ini, Suhaimi berkata ia secara umumnya terbahagi kepada lima subsistem yang menyokong antara satu sama lain dan digabungkan dengan satu pangkalan data utama yang membentuk model 'client/server'.

 

Subsistem-subsistem tersebut katanya merangkumi Sistem Maklumat Pelajar, Sistem Penilaian dan Prestasi Pelajar, Sistem Maklumat Guru, Sistem Jadual Waktu dan Sistem Bank Soalan.

 

''Setiap subsistem mempunyai pangkalan datanya yang tersendiri yang digabungkan ke dalam satu server dan bertindak sebagai pusat pengurusan pangkalan data utama,'' katanya.

 

Katanya, sistem tersebut merupakan prototaip client/server yang dibina khusus untuk persekitaran sekolah di mana beberapa modul disatukan di bawah persekitaran Windows 95 dengan menggunakan visual basic dan pangkalan data Access.

 

Mengenai Sistem Maklumat Pelajar, beliau menjelaskan prototaip itu membolehkan pihak pentadbiran sekolah meneliti maklumat-maklumat peribadi pelajar, ibu bapanya dan maklumat kelas serta peperiksaan yang telah diduduki.

 

''Setiap data ini akan disimpan ke dalam pangkalan data pelajar yang terdapat pada pangkalan data utama,'' katanya.

 

Di samping itu katanya, sistem tersebut mampu menganalisis prestasi pelajar mengikut kelas atau peperiksaan dalam bentuk graf atau laporan berdasarkan maklumat peperiksaan yang disimpan pada pangkalan data pelajar.

 

''Bagi memudahkan guru-guru merangka soalan-soalan peperiksaan pula, Sistem Bank Soalan Peperiksaan boleh diaplikasikan,'' kata Suhaimi.

 

Dengan kaedah ini katanya, guru-guru boleh memilih dan mencari soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya untuk digunakan semula dalam ujian dan peperiksaan akan datang.

 

Ini kerana menurut Suhaimi, soalan-soalan peperiksaan tahun lepas boleh disimpan ke dalam sistem ini dengan cara menaipkannya ke dalam komputer atau diimbaskan (scan).

 

Guru-guru pula jelasnya, boleh mengatur peperiksaan berautomatik di dalam makmal komputer dengan menghantar soalan-soalan objektif kepada penuntutnya yang juga dilengkapi kemudahan PC masing-masing.

 

''Apa yang menarik sebaik sahaja ujian tamat, sistem akan memeriksa jawapan setiap pelajar secara automatik dengan memberi markah dan jawapan sebenar dengan segera,'' katanya.

 

Suhaimi memberitahu Sistem Maklumat Sekolah Bersepadu ini sedang dikembangkan lagi kegunaannya dengan pengwujudan modul-modul baru seperti Sistem Peperiksaan Berautomatik, Sistem Inventori Sekolah dan sebagainya.

 

Beliau juga optimis prototaip ini boleh menyumbangkan teknologi ke arah pencapaian matlamat Sekolah Bestari yang kini telahpun diwujudkan.

 

 

Tarikh : 13/07/1997

KE ARAH MASYARAKAT CELIK KOMPUTER...

Najib Tun Razak dan Pengerusi Eksekutif Utusan, Kamarul Ariffin tertarik memerhatikan para pelajar Sekolah Menengah Projek Seksyen 11 menggunakan komputer sempena Pameran dan Khemah Komputer Dalam Kelas (KDK) Bersama Utusan Megabait di Shah Alam, semalam.

 

Belum memuaskan -- Tahap celik komputer rendah walaupun penggunaan kian meluas

 

SHAH ALAM 12 Julai _ Tahap celik komputer di kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan belum memuaskan walaupun penggunaannya semakin meluas di negara ini, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terhadap 22,000 responden di negara ini yang berusia lebih 10 tahun, secara purata mendapati hanya 12 peratus sahaja yang celik komputer.

 

Daripada jumlah itu, katanya, mereka yang celik komputer berusia 15 hingga 24 tahun mencatatkan peratus tertinggi iaitu 20 peratus manakala golongan berusia 55-64 tahun mencatat peratusan terendah iaitu satu peratus.

 

''Justeru itu, kerajaan, khasnya Kementerian Pendidikan amat menggalakkan pelbagai badan korporat untuk bersama-sama berganding bahu merealisasikan hasrat melahirkan masyarakat serba boleh dalam bidang teknologi maklumat,'' katanya.

 

Menurut Najib, kaji selidik yang dinamakan Kajian Menentukan Kadar Literasi dan Membaca Negara dibuat dari rumah ke rumah, merangkumi seluruh aspek termasuk kaum, pendapatan isi rumah, kawasan bandar dan luar bandar.

 

Beliau menyatakan demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Pameran dan Khemah Komputer Dalam Kelas (KDK) Bersama Utusan Megabait yang dianjurkan Utusan Melayu (M) Bhd. di Sekolah Menengah Projek Seksyen 11, di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, katanya, penggunaan komputer juga mampu menggalakkan penggunaan Internet di kalangan masyarakat negara ini dan perangkaan terbaru MIMOS mendapati kira-kira 300,000 penduduk negara ini menggunakan Internet.

 

''Walaupun jumlah pelanggan Internet meningkat 100 peratus setiap tahun namun usaha itu mesti dipertingkatkan dengan memperlihatkan nisbah sebagaimana di kalangan negara maju,'' ujarnya.

 

Dalam majlis itu, Najib memuji usaha Utusan mengadakan program KDK yang merupakan julung-julung kali dianjurkan dan beliau menyifatkan ia sebagai titik tolak kepada penggunaan komputer yang menyeluruh dalam masyarakat.

 

Beliau memberitahu, usaha tersebut dapat membantu kementeriannya melahirkan lebih banyak sekolah bestari di seluruh negara.

 

Melalui sekolah bestari, menurutnya, Kementerian Pendidikan bercadang menetapkan satu komputer bagi lima pelajar di samping menjadikan pembelajaran satu kendiri, berkesinambungan dan reflektif.

 

''Ia merupakan satu pendemokrasian pembelajaran dengan memerlukan para pelajar menyelesaikan masalah secara kreatif, belajar bertindak secara berani di samping memanipulasikan maklumat tentang apa yang telah dipelajari dalam kehidupan harian,'' ujarnya.

 

Menurut beliau, perancangan dan persediaan mengenai perkara tersebut sudah dibuat dan kini hanya menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk melancarkannya, berkemungkinan pada minggu terakhir bulan ini.

 

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Johan Jaaffar berkata, masyarakat negara ini masih perlu didekatkan kepada teknologi multimedia, komputer dan pelbagai aplikasinya di samping beringat tentang apa yang perlu dilakukan untuk mempersiapkan diri masing-masing.

 

''Oleh itu, Utusan menganggap pelancaran program KDK amat penting kerana ia merupakan titik tolak bagi kita semua,'' ujarnya.

 

Johan berkata, pelancaran tersebut sejajar dengan kempen 'Sebuah Komputer Setiap Rumah' oleh Utusan yang sebenarnya cuba menarik perhatian dan imaginasi rakyat tentang peri pentingnya peralatan itu.

 

Program selama dua hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan ditaja oleh Acer Sales and Services Sdn. Bhd. dan SpyderNet Sdn. Bhd.

 

 

 

 

 

Tarikh : 09/05/1997

Sekolah bestari kanak-kanak istimewa juga layak

 

KANAK-KANAK pendidikan khas akan turut dilibatkan dalam projek perintis sekolah bestari, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus.

 

Menurut beliau, ke arah itu, kementeriannya sedang menyediakan pasukan guru terlatih yang mampu memberi pendidikan secukupnya kepada pelajar-pelajar khas itu.

 

Katanya, Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) telah dipertanggungjawabkan melahirkan guru-guru yang dapat mendidik kanak-kanak khas di semua sekolah harian biasa menjelang tahun 2000.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Malam Kuntuman Harum Asuhan Sempurna di Kuala Lumpur, kelmarin.

 

Menurut Khalid, kini terdapat tiga buah sekolah yang dilengkapi dengan kemudahan untuk kanak-kanak khas iaitu di Bukit Mertajam bagi bagi pelajar bermasalah penglihatan, di Melaka dan di Johor Bahru bagi pelajar bermasalah pendengaran.

 

``Menjelang tahun 2000, semua sekolah harian biasa akan dapat menerima pelajar khas,'' katanya.

 

Kanak-kanak khas juga berbakat, sambil memberi jaminan, mereka akan turut mendapat perhatian sama rata dalam sistem masyarakat di negara ini, kata Khalid.

 

``Kanak-kanak khas sememangnya mendapat tempat dan boleh bersaing dengan kanak-kanak biasa dalam pelbagai bidang,'' tambah Khalid.

 

Sambil peranan guru sebagai pembimbing diberi perhatian, katanya, fokus juga perlu diberikan kepada aspek kerjasama ibu bapa, barulah masyarakat madani dapat diwujudkan.

 

Pada majlis itu, Khalid menyampaikan sijil penyertaan dan cenderamata kepada pengetua dan guru besar beberapa sekolah khas.

 

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh kanak-kanak khas beberapa buah sekolah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Beberapa artis tempatan turut membuat persembahan.

 

Majlis dianjurkan oleh peserta Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 minggu ambilan Februari tahun ini, di Unit Pendidikan Khas MPIK.

 

Sementara itu, menurut bapa kepada seorang kanak-kanak khas yang terlibat dalam persembahan pada malam itu, Yee Fook Meng, kerajaan harus menambah kemudahan untuk kanak-kanak khas .

 

Beliau mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menambah bilangan sekolah pendidikan khas.

 

Seorang guru yang telah mengajar kanak-kanak khas selama enam tahun memberitahu wartawan pendidikan, walaupun kaedah pengajaran bagi kanak-kanak khas berbeza dari kanak-kanak biasa, beban kerja mereka sama sahaja seperti guru biasa.

 

 

[HOME]