Make your own free website on Tripod.com

 

SELAMAT DATANG KE LAMAN BERITA-BERITA SEKOLAH BESTARI 1997

LAMAN INI DIREKA KHAS OLEH : GEORGE LANGAT NGAU

KUMPULAN : M1T696

MAKTAB PERGURUAN SAINS BINTULU

 

Tarikh : 20/07/1997

Kurikulum sekolah bestari berbeza dengan Barat

SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan kurikulum sekolah bestari yang digubal akan menekankan empat elemen penting yang sesuai dengan negara ini sehingga ia berbeza dengan kurikulum yang diamalkan di negara Barat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keempat-empat elemen tersebut ialah ilmu, kemahiran, nilai iaitu berkaitan agama dan murni serta bahasa yang kesemuanya memainkan peranan penting.

Ketika berucap merasmikan Pameran dan Khemah 'Komputer Dalam Kelas' bersama Utusan Megabait (KDK), di Sekolah Menengah Projek, di sini, Najib berkata, pihaknya sentiasa memastikan kurikulum sekolah bestari tidak bercanggah dengan budaya tempatan walaupun meminjam konsep sekolah bestari dari Barat.

''Elemen nilai iaitu berkaitan agama dan murni tidak kita masukkan dalam kurikulum sekolah bestari sedangkan di Barat tidak menekankan elemen ini. Ini yang membezakannya,'' ujar beliau.

Beliau menegaskan sekolah bestari yang akan dikembangkan ke seluruh negara menjelang tahun 2010 merupakan suatu keperluan dan bukannya kemewahan sehingga setiap golongan dan lapisan masyarakat akan menikmatinya.

Jelas beliau, baik golongan miskin atau kaya, bandar atau luar bandar, pintar atau sebaliknya akan dapat menikmati persekolahan bestari yang menekankan kepAda pendidikan bestari itu.

Selain itu, tambah beliau, sekolah konsep baru itu juga akan dibahagikan kepada empat kategori yang diukur berdasarkan nisbah komputer dan sekolah terbabit dan yang paling sesuai ialah satu komputer untuk lima pelajar.

''Sistem pendidikan juga perlu diubah daripada konsep ingatan kepada berpengetahuan, kreatif dan penyayang. Itu yang ditekankan dalam konsep sekolah bestari,'' katanya.

Menurut beliau, para pelajar tidak lagi bergantung kepada guru untuk pembelajaran mereka sebaliknya pelajar akan mencari maklumat, mengumpulkan data dan lain-lain dari Internet sehingga tugas guru hanya sebagai pembimbing di sisi (fasilitator).

Selain itu, sistem pentadbiran sekolah juga akan dibuat secara berkomputer sehingga kerja-kerja rutin yang biasanya dilakukan oleh para guru diambil alih oleh komputer dan ini akan mengurangkan beban para guru.

Pada majlis itu, beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Utusan Malaysia yang mengadakan pameran dan bengkel komputer di sekolah-sekolah memandangkan selama ini pameran yang serupa sering diadakan di hotel-hotel berbintang atau Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pameran dan Khemah 'Komputer Dalam Kelas' bersama Utusan Megabait itu merupakan program ulung yang dijalankan di negara ini yang diadakan secara berperingkat-peringkat ke seluruh negara.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Kamarul Ariffin dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Johan Jaaffar.

Projek yang dijalankan oleh Utusan Megabait itu mendapat kerjasama pihak Acer Sales & Services Sdn. Bhd. dan SpyderNet Sdn. Bhd. itu anak syarikat Lityan Holding serta sokongan Kementerian Pendidikan dan Telekom Malaysia Berhad.

 

 

Tarikh : 17/12/1997

Sekolah atau pembelajaran bestari

PENDIDIKAN merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Sejak zaman berzaman, pendidikan menjadi sebahagian dari kehidupan manusia dan menjadi perbandingan untuk mengukur kedududukan seseorang di tengah masyarakat.

Pendidikan secara formalnya bermula dari sekolah. Sekolah adalah permulaan kepada segala yang berasas dari 3M, Membaca, Menulis dan Mengira.

3M menjadi peranan utama dalam pembentukan insani dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Tanpa ketiga asas ini, adalah sukar untuk menjadi seorang manusia yang lengkap terutama dalam kehidupan moden yang begitu berdaya saing.

Malah ayat al-Quran yang pertama telah menganjurkan umat manusia supaya membaca. Ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. (yang tidak boleh membaca dan menulis itu) telah menunjukkan kepentingan ilmu melalui pembacaan.

Dengan ledakan multimedia ke serata dunia terutama konsep MSC di Malaysia, telah timbul istilah sekolah bestari yang dianggap boleh menjadi sistem pembelajaran baru untuk memenuhi keperluan pendidikan dan sumber tenaga manusia di alaf mendatang.

Penulis kurang pasti bagaimana sekolah bestari ala Malaysia akan dilaksanakan. Sekolah pada asasnya adalah bangunan fizikal dan kemungkinan sekolah bestari adalah adunan sekolah yang lengkap dengan perkakasan komputer, pembelajaran bestari, guru-guru yang berwibawa dan pelajar yang pintar.

Dari sini akan melahirkan rakyat yang bestari yang dapat pula melahirkan masyarakat madani. Telah banyak juga diperkatakan tentang sekolah bestari. CRFP yang dikeluarkan baru-baru ini turut mengandungi spesifikasi untuk sekolah bestari.

Sebagai salah satu dari aplikasi perdana MSC, sekolah bestari akan menjadi saluran utama ke arah Wawasan 2020.

Melihat jauh ke hadapan, dengan kedatangan pelbagai media baru seperti TV, video, PC, multimedia dan paling hebat, Internet, sememangnya pembelajaran akan melalui kaedah baru yang sesuai dengan keadaan dan taraf pemikiran kanak-kanak yang telah didedahkan dengan medium tersebut di peringkat awal.

Pendidikan dahulu, sekarang dan mendatang pastinya mempunyai perubahan mengikut zaman. Sehingga kini, pendidikan telah mengadaptasi minda kanak-kanak dengan media tertentu dan dijangkakan di masa depan yang datangnya mungkin lebih awal, pendidikan yang akan menentukan media untuk mengikuti keperluan dan cita rasa minda individu.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil bila pelbagai media ini semakin menjadi mudah untuk didapati dan mampu untuk dimiliki. Teknologi adalah alat yang memungkinkan apa yang tidak terfikir oleh manusia sebelum ini. Menggunakan teknologi untuk pembelajaran juga bukanlah sesuatu yang baru lagi.

Media sebagai salah satu produk teknologi boleh memanfaatkan pengetahuan dalam pelbagai bentuk dan kaedah untuk disampaikan. Ia berbeza dengan 3M kerana pilihan yang pelbagai boleh disesuaikan dengan keperluan individu. Tidak lagi corak sekarang yang lebih berasaskan satu kurikulum standard untuk semua, tidak kira sama ada seseorang pelajar itu lebih cerdas dari yang lain.

Kanak-kanak yang mendapat pendedahan awal dengan pelbagai bentuk media akan terasa tidak lagi sesuai untuk pergi ke sekolah biasa dengan kurikulum yang tidak berubah atau ada yang sudah ketinggalan zaman. Malah ada kanak-kanak yang bosan dengan kelembapan sistem persekolahan bila mereka telah lama terpesona dengan kepantasan video games dan permainan komputer.

Kebebasan dan ruang untuk mengeksplorasi bentuk-bentuk baru pengetahuan di luar kurikulum seakan membantutkan daya pemikiran kanak-kanak bila duduk di dalam kelas dan terpaksa mengikuti pelajaran secara konvensional.

Pada hari ini, pengetahuan telah distrukturkan mengikut umur, mata pelajaran tahap dan peperiksaan. Ia mungkin tidak lagi sesuai bila teknologi telah memungkinkan jutaan manusia berkomunikasi secara on-line. Bila segala maklumat dan berita boleh disebarkan ke serata dunia dalam sesaat. Bila rakaman tragedi atau temasya sukan dan sebagainya boleh dipancarkan dalam warna-warni dan secara langsung.

Komputer, multimedia dan Internet memungkinkan pembelajaran bestari tanpa pergi ke sekolah secara formal. 3M bukan lagi perlu diajar secara formal sama ada di tadika atau sekolah rendah.

Anak penulis telah membaca sewaktu berusia empat tahun tanpa pergi ke tadika dan ramai yang lain turut berkemampuan begitu. Malah sebelum membacapun, beliau boleh melayari komputer dengan mengenal ikon dan grafik. Mengenal ikon dan CD mana untuk digunakan.

Sejak kecil, kanak-kanak memang mempelajari banyak perkara melalui sentuhan, pendengaran dan penglihatan. Bila membesar, ruang pembelajaran semakin luas tetapi masih tidak lari dari asas yang sama.

Kerana itulah, kanak-kanak cepat dalam mempelajari sesuatu. Kebanyakan kanak-kanak misalnya lebih cepat menghayati penggunaan komputer dari orang dewasa kerana sikap ingin tahu (curiosity) dan tiada rasa takut (phobia).

Setelah menguasai 3M, kanak-kanak akan lebih terdedah dengan pelbagai ilmu baru dan dengan multimedia, pendekatan sentuhan pendengaran dan penglihatan akan menjadi lebih berkesan terutama secara interaktif.

Kanak-kanak memang mudah mempelajari sesuatu secara interaktif dengan dunia sekeliling mereka. Interaktif melalui multimedia yang mengandungi pelbagai bahan pengajaran dan pengetahuan akan memberikan peluang kepada individu untuk mengeksplorasi kemampuan diri sendiri dan mencorakkan bentuk pemikiran.

Seterusnya, kanak-kanak ini akan membesar sebagai orang dewasa yang lebih memahami kemampuan diri sendiri untuk menghadapi dunia saingan kerana mereka tidak lagi bersaing dengan kurikulum atau rakan sebaya tetapi dengan diri kemampuan sendiri dalam menilai darjah kebolehan.

Keseragaman pembelajaran di sekolah sejak lama dikatakan menjadi antara punca pembantutan stail intelektual yang berlainan di antara para pelajar.

Mungkin kekurangan media menyebabkan tiada banyak pilihan dalam mencorakkan bentuk-bentuk pembelajaran. Kesannya, ramai pelajar yang tidak dapat menghayati ilmu yang cuba disampaikan bila hanya satu media saluran digunakan dan bila ia tidak berkesan, pelajarlah menjadi mangsa tanpa ada pilihan untuk mempelajarinya dalam bentuk atau saluran lain.'

Malah untuk mereka yang lebih sedikit daya akalnya pun seakan terbatas dalam mendalami apa yang diajarkan. Selain buku dan guru, media lain masih dalam kekurangan atau belum meluas untuk digunakan.

Pelbagai media juga menyediakan pelbagai pilihan untuk kanak-kanak menguasai 3M di peringkat awal. Sekolah mungkin tidak lagi penting di peringkat awal pembelajaran selain menjadi satu budaya.

Kaedah-kaedah pembelajaran yang semakin banyak juga memungkinkan pilihan dalam menyediakan asas awal 3M yang tidak terikat dengan kaedah biasa dan tertentu.

Sekolah bestari bukanlah hanya satu jawapan atau saluran dalam pembentukan individu berilmu yang lengkap dengan pengetahuan mengikut kehebatan teknologi terkini.

Faktor lain seperti kurikulum, guru dan kemampuan pelajar sendiri menjadi adunan dalam keberkesanan. Malah peranan guru mungkin berbeza, dari pengajar kepada penyelaras di mana komputerlah yang menjadi guru dan guru menjadi tempat rujukan.

Apakah sekolah bestari atau pembelajaran bestari? Pembelajaran bestari tidak memerlukan sekolah bestari kerana pembelajaran dalam multimedia boleh didapati sama ada di rumah sendiri atau di sekolah bukan bestari.Bagaimana mereka yang tidak berjaya ke sekolah bestari? Apakah mereka akan menjadi rakyat kelas dua?

Pembelajaran bestari merangkumi pengembangan kebolehan individu melalui saluran multimedia dan interaktif yang tidak terbatas di dalam kelas.

Sama ada pelajar lembab atau pintar, mereka boleh mencapai matlamat kurikulum dengan kaedah yang pelbagai yang sesuai dengan kemampuan individu, bukan hanya satu kaedah.

Mungkin mereka yang pintar boleh menguasai sesuatu dengan lebih cepat dan mudah, tetapi tidak bermakna yang kurang pintar akan ketinggalan. Mereka ini boleh sama bersaing dengan kaedah yang berlainan.

Literasi juga boleh dibuat definisi baru yang tidak sekadar kebolehan mengenal dan menggunakan huruf-huruf abjad. Kanak-kanak yang sudah pandai melayari komputer dengan menggunakan ikon dalam multimedia misalnya turut belajar dan mengerti melalui grafik, audio atau video tanpa membaca.

Pelbagai CD hari ini mempunyai kaedah sedemikian dan ramai kanak-kanak yang belum ke sekolah sudah boleh 'belajar' dan meluaskan pengetahuan secara begini. Begitupun, sekolah bestari dengan secara tidak langsung menimbulkan satu excitement di kalangan ibu bapa dan tidak hairan jikalau anak-anak yang berjaya ke sekolah bestari fasa pertama ini akan menjadi lambang status kepada ibu bapa.

Dan tidak hairan para ibu bapa akan turut menggunakan pelbagai saluran (politik atau sebagainya) untuk memastikan anak-anak mereka menjadi salah seorang pelajar sekolah bestari.

Dengan itu tidak mengejutkan bila hanya anak-anak mereka yang berada dan berkepentingan sahaja akan menjadi bestari. Sememangnya perkara ini amat sukar dielakkan kerana pengaruh know-who dari know-how masih kuat dalam apa saja urusan!

 

Oleh: MOHD. FUDZAIL MOHD. NOOR

 

 

Tarikh : 17/08/1997

Fahami konsep sebenar sekolah bestari

KUALA LUMPUR - Ramai yang mempunyai pemahaman yang salah terhadap konsep sekolah bestari yang ingin diperkenalkan sebagai salah satu aplikasi perdana projek Koridor Raya Multimedia (MSC).

Setiausaha Tetap Majlis Tekno-logi Maklumat Malaysia (NITC) Da-tuk Dr Tengku Azzman Shariffadeen berkata, ramai yang tersalah anggap tentang konsep 'sekolah bestari' yang ingin dilaksanakan.

''Sekolah bestari bukanlah se-kadar dengan memasang komputer, peralatan multimedia dan lain-lain prasarana teknologi maklumat (IT) semata,'' katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar sempena seminar 'Ke arah alaf baru - Mas-yarakat Tekno-logi, Pendidikan dan Pengetahuan' anjuran NITC, Anixter Inc., dan MI-MOS Berhad di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, sekolah bestari sebenarnya patut dirujuk kepada pendidikan dan pembelajaran melalui peralatan teknologi seperti komputer dan multimedia.

Tengku Azzman, yang juga Pre-siden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, berkata sistem pendidikan dan pembelajaran yang ada sekarang perlu diubah untuk dise-suaikan dengan konsep pembelajaran bestari, serta selaras dengan misi Koridor Raya Multimedia (MSC).

''Kita bercakap tentang satu 'proses kejuruteraan semula sepenuhnya' terhadap sistem pembelajaran yang ada sekarang.

''Buat permulaan sekolah bestari akan menjadi satu tempat percubaan untuk konsep baru ini, lambat laun semua sekolah di seluruh negara akan menggunakannya, dan ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Ma-laysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu,'' katanya.

Sementara itu Pengarah Institut Pembelajaran Sains, Universiti Nor-thwestern, Amerika Sya-rikat, Roger C. Shanck berkata, 'sekolah bestari' tidak sepatutnya bermakna sekolah yang dileng-kapi dengan teknologi-teknologi canggih semata.

Sebaliknya, sekolah bestari haruslah menggunakan pendekatan 'pembelajaran yang bestari' di mana kaedah pengajaran yang sebenarnya perlu diubah, kata beliau.

Seminar yang diadakan itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pengurus kanan dan pakar-pakar latihan, pendidikan dan pengurusan korporat, tentang tanggungjawab pengurusan strategik dan sumber manusia dalam era teknologi maklumat.

Turut menyampaikan syarahan di seminar tersebut ialah Naib Presiden Sistem Pembe-lajaran dan Latihan, Anixter Inc., Julie Anixter.

NEXT >